PUTRAJAYA – Beban penyakit tidak berjangkit (NCD) melibatkan kardiovaskular, kencing manis, darah tinggi, diabetes, kanser dan strok menunjukkan peningkatan malah, lebih tinggi jika dibandingkan dengan negara jiran.
Pakar Perunding Perubatan Kesihatan Awam yang juga Timbalan Pengarah (NCD) Bahagian Kawalan Penyakit di Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata, trend peningkatan tersebut dapat dilihat sejak 1990-an serta terus meningkat sehingga sekarang.
Menurutnya, berdasarkan data di Malaysia, kira-kira 1.7 juta orang dewasa menghidap tiga penyakit NCD manakala, 3.4 juta orang dewasa menghidap dua penyakit tersebut.
“Ini menunjukan satu daripada lima orang dewasa menghidap diabetes, satu daripada tiga dewasa menghidap hipertensi manakala dua daripada lima orang dewasa mempunyai kolestrol tinggi,” katanya pada sesi taklimat pemakan sihat dan NCD bersama media secara maya di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, merokok antara faktor risiko NCD dan berdasarkan data diperolehi, jumlah perokok lelaki di Malaysia adalah 30 kali lebih tinggi berbanding wanita. -K! ONLINE