SEREMBAN – Seorang pembantu ah long mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengganggu dan membuat ugutan terhadap seorang peminjam wanita pada Ogos lalu.
Tertuduh, Zulhilmi Nazran Zaifulnizam, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai wakil pemberi pinjaman tanpa lesen bersama seorang lagi suspek yang masih bebas didapati telah menggangu mangsa seorang wanita berusia 36 tahun serta ahli keluarga dengan membuat simbahan cat warna merah di perkarangan pagar rumah dan mengunci pintu pagar serta memberikan notis berunsur ugutan “Sila settle elok-elok ini peringatan terakhir”.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan K18 S2 Vision Homes Seremban 2 pada pukul 8 malam 21 Ogos lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang boleh dikenakan denda minimum RM50,000 dan maksimum RM250,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang kedua atau berturutan hendaklah juga dikenakan sebatan sebagai hukuman tambahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zulfikri Mohd. Nasir menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 kepada tertuduh dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya memohon agar jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan dan masih muda.
Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri pada hari Sabtu minggu pertama setiap bulan.
Kes disebut semula 9 November depan.