PUTRAJAYA – Harga purata ayam nasional ketika ini berada pada sekitar RM8.70 sekilogram iaitu lebih baik berbanding RM10 direkodkan pada awal September lalu.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, pemeriksaan pada 4 Oktober lalu mendapati, hanya dua daripada 560 premis yang diperiksa menjual ayam lebih daripada RM9.50 sekilogram.
Menurutnya, kejayaan menurunkan harga purata ayam itu adalah hasil kerjasama erat KPNDHEP dan pemain industri ayam dan telur di negara ini.
“Menerusi sesi libat urus dijalankan, mereka (pemain industri) bersetuju mengurangkan margin keuntungan masing-masing dan ia sekali gus membantu meringankan beban pengguna.
“Mereka bersetuju melihat semula kos dan keuntungan di setiap peringkat rantaian sehinggalah harga import makanan ternakan ayam kembali stabil,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, ketika ini, harga purata nasional telur ayam Gred A (30 biji) ialah RM13.20, Gred B (30 biji) RM12.40, dan Gred C (30 biji) RM11.80. -K! ONLINE