SKUAD Malaysian Tigers menebus kembali maruah selepas berjaya melunas ‘dendam’ terhadap Ireland apabila bangkit menumbangkan pasukan tersebut dengan keputusan 4-2 semalam.
Pada aksi sulung perlawanan ujian, skuad hoki senior negara dilihat sedikit kecewa apabila tewas tipis ketika bersaing di Kelab Hoki Lisnagarvey kelmarin.
Kapten pasukan, Marhan Jalil berkata, kunci kejayaan pasukan itu hadir selepas mereka tampil sebagai satu pasukan selain turun dengan keyakinan tinggi ketika berdepan Ireland.
Bagaimanapun, Marhan berharap rakan-rakan seperjuangannya mengekalkan momentum sama ketika beraksi di Kelab Hoki Lisnagarvey itu dalam pertemuan seterusnya menentang Wales nanti.
“Setiap pemain turun dengan penuh keyakinan serta menunjukkan semangat juang yang cukup tinggi dan mencuba segalanya dalam memastikan kemenangan milik kami.
“Saya berharap setiap pemain akan kekal fokus untuk baki dua perlawanan ujian bertemu Wales selain meneruskan momentum serta keyakinan yang ada dalam usaha mengatasi mereka nanti,” kata Marhan.
Empat gol yang dihasilkan Malaysian Tigers oleh Razie Rahim pada minit ke-11 dan ke-12 diikuti Azrai Aizad Abu Kamal (m-15) dan Najib Hassan (m-22), manakala jaringan Ireland menerusi Jeremy Duncan (m-3) dan Luke Madeley (m-58).
Sementara itu, pengendali skuad kebangsaan, Arul Selvaraj mengakui berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya selepas bangkit daripada kekalahan pada aksi pertama lalu.
“Satu persembahan yang betul-betul memberangsangkan dan positif untuk mereka bangkit kembali daripada kekalahan semalam.
“Kami mendapat tiga kelebihan pukulan sudut penalti dan Razie menjaringkan dua daripadanya sementara Ireland dihadiahkan dengan lebih banyak pukulan sudut penalti berbanding kami.
“Jaringan gol padang menerusi Azrai dan Najib juga menunjukkan dalam pasukan kami ramai pemain yang boleh menjaringkan gol padang,” katanya.