SEGALA persoalan terlerai sudah apabila pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengesahkan bahawa tahun ini adalah perlumbaan terakhirnya dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Antara sebab Hafizh tidak menyambung perjalanan kariernya pada perlumbaan Moto2 musim depan disebabkan faktor kepayahannya untuk mendapatkan keputusan terbaik bersama pasukan NTS RW Racing GP.
Hafizh menyertai pasukan RW Racing musim ini untuk membantu mengembangkan casis jentera NTS yang merupakan pendatang baharu Kejuaraan Dunia Moto2.
Pelumba kelahiran Ampang itu bergelut untuk mendapatkan hasil terbaik dan hanya meraih lapan mata untuk berada di tangga ke-28 setakat musim ini.
“Apa yang saya boleh katakan, saya sendiri rasa kecewa dengan prestasi sendiri. Bukan sebab fizikal atau diri saya tetapi mungkin akibat keserasian dengan jentera tidak begitu berjalan lancar.
“Saya sudah buat sehabis baik memacu jentera tersebut tetapi mungkin saya dan juga pasukan masih gagal mencari cara untuk tingkatkan lagi keupayaan jentera terutama di bahagian ‘suspension’ dan juga casis.
“Saya harapkan peningkatan lebih baik pada musim ini tetapi mungkin bukan rezeki saya kerana perlumbaan 2021 juga sudah hampir ke penghujung. Dua tahun ini, saya ambil risiko yang sangat tinggi.
“Saya fikir ini mungkin tahun terakhir saya pada MotoGP sebab saya tidak boleh teruskan. Saya tahu ramai peminat mahu saya kekal berada dalam saingan MotoGP tetapi saya terpaksa fikir masa depan,” katanya semalam.
Dalam pada itu, faktor membawa tajaan wang tunai kepada pasukan Eropah turut dikatakan menjadi pendorong kepadanya untuk tidak meneruskan kariernya di pentas dunia itu.
“Sebab saya tidak kekal pada MotoGP kerana pasukan Eropah memerlukan suntikan dana mahupun penaja. Saya bukan tidak minat cara macam itu tetapi saya yakin saya mampu berikan saingan, jadi kenapa saya perlu bawa duit untuk pasukan?
“Kemudian kalau mereka gagal menyediakan jentera terbaik, pasti saya juga menanggung rugi,” tegasnya.