SUNGAI PETANI – Kawasan pesisir Pantai Pulau Sayak di Kota Kuala Muda dekat sini menjadi tumpuan orang ramai untuk mencari siput gayam yang terdampar di pantai tersebut setiap kali berlaku fenomena air surut.
Orang ramai memenuhi kawasan pantai tersebut bermula pukul 3 petang untuk mencari siput sama ada untuk dijual atau dijadikan hidangan keluarga.
Lebih menarik apabila terdapat juga perkhidmatan bot yang disediakan dengan kadar tambang RM2 untuk pergi dan balik bagi memudahkan orang ramai menyeberang ke kawasan beting pasir untuk mencari siput.
Seorang penduduk, Mohd. Shahril Mohd Saad, 32, berkata, fenomena air surut biasanya berlaku dalam tempoh selang seminggu hingga dua minggu sekali setiap bulan.
Menurutnya, orang ramai akan datang mencari siput ketika air surut pada waktu awal pagi dan lewat petang sahaja kerana waktu itu cuaca tidak panas.
Mohd. Shahril yang bekerja sendiri berkata, dia menjadikan aktiviti mencari siput untuk mengisi masa lapang bersama isteri dan tiga anak saudaranya selain turut menjadikannya sebagai sumber pendapatan sampingan.
“Biasanya untuk peniaga seperti saya, kami akan cari siput sehingga mencapai berat antara 400 hingga 500 kilogram (kg) sehari menggunakan alat pencakar siput.
“Namun bagi pengunjung lain, mereka biasanya akan cari dalam 10 hingga 50kg sahaja untuk makan. Siput gayam biasanya dijual pada harga RM3 hingga RM5 sekilogram mengikut harga semasa,” katanya.
Seorang lagi penduduk dari Pinang Tunggal, Iman Safiya Basri, 15, berkata, ia merupakan kali kedua dia datang ke Pulau Sayak bersama ahli keluarganya untuk mencari siput.
Katanya, pengalaman pertama mencari siput beberapa minggu lalu membuatkan mereka ‘ketagih’ untuk datang semula.