BINTANG Squid Game, Jung Ho-yeon muncul sebagai pelakon wanita Korea Selatan paling berpengaruh di Instagram iaitu dengan lebih 13 juta pengikut.
Sebelum Squid Game menjadi buah mulut peminat pertengahan September lalu, Ho-yeon hanya mempunyai sekitar 400,000 pengikut.
Menerusi rekod terkini, Ho-yeon sekali gus mengatasi aktres Lee Sung-kyung yang sebelum ini memegang gelaran itu dengan 12.9 juta pengikut, diikuti Song Hye-kyo (12 juta pengikut).
Dalam temu bual bersama Herald Pop, dia yang juga seorang model menyifatkan pertambahan itu sebagai penghargaan besar.
“Mulanya saya sangat terkejut. Setiap kali saya buka aplikasi Instagram, saya dapati jumlahnya bertambah. Situasi ini membuatkan saya semakin bersemangat untuk berkarya,” ujarnya.
Ho-yeon turut berterima kasih dengan kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Saya beruntung kerana dikelilingi pelakon dan kru yang bagus,” katanya.