SHAH ALAM – Pelaksanaan kerja penyelenggaraan aset kritikal yang menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) minggu depan dijangka bakal mengurangkan gangguan bekalan air di Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu itu kebiasaannya timbul akibat tiga faktor iaitu bekalan air mentah tidak mencukupi ketika kemarau atau pencemaran, kegagalan fungsi LRA dan faktor luar kawalan.
“Kerja penambahbaikan bermula 13 Oktober depan itu perlu dilaksanakan selepas tertangguh sejak 2019 susulan beberapa insiden sebelum ini.
“Justeru, pelaksanaan itu sudah pasti boleh mengurangkan gangguan pada masa hadapan,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sbanyak 998 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 13 Oktober depan.
Ini melibatkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
Jelas Amirudin, kesan lebih buruk terhadap operasi di setiap LRA mungkin berlaku sekiranya kerja penyelengaraan itu ditangguhkan lagi. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929