SEREMBAN – Seorang pemandu bas maut akibat tersepit dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kampung Jimah Baru di sini pagi tadi.
Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Muhammed Gadaffi Abdul Manaf berkata, pihak bomba dengan kekuatan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dibantu Unit Bermotor Bomba bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.40 pagi.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati berlaku kemalangan melibatkan empat buah kenderaan yang terdiri daripada masing-masing sebuah bas, lori tangki, kereta pacuan empat roda dan motosikal.
“Dalam operasi itu, pihak bomba telah mengeluarkan seorang pemandu bas, G.Erudayasamy, 56, yang didapati tersepit di bahagian pemandu sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.
Menurut Muhammed Gadaffi, pihak bomba telah membuat rawatan awal dan pemeriksaan oleh pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia seterusnya diserahkan kepada pihak polis.
“Manakala pemandu lori dan kereta pacuan empat roda yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital oleh orang awam.
“Seorang lagi pemandu motosikal hanya mengalami cedera ringan dan dirawat oleh pihak ambulans,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929