BAGAN SERAI – Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan tangan dan kaki terikat di perairan laut Ban Pecah Sungai Burung Tanjung Piandang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, pihaknya menerima maklumat awam berhubung kejadian itu pada kira -kira pukul 10.04 malam.
Menurut beliau, mayat seorang lelaki dewasa yang dianggarkan berumur antara 16 hingga 35 tahun itu ditemui tersangkut pada pukat di perairan itu.
“Mayat ditemui dalam keadaan tangan dan kaki terikat dengan menggunakan beg berisi pasir yang bertujuan untuk menenggelamkannya ke dasar laut.
“Hasil pemeriksaan pihak forensik di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati keadaan mayat telah membusuk dan dianggarkan telah mati dalam tempoh beberapa hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil bedah siasat juga mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan pada bahagian kepala akibat trauma tumpul dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini atau kehilangan ahli keluarga boleh berhubung dengan mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai juga boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Ambri Mat Nayan di talian 011-13092525,” kata Mazuki. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929