OSLO – Norway terlepas peluang untuk menggunakan khidmat penggempur berbisanya, Erling Haaland pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022 selepas pemain berkenaan berdepan masalah kecederaan.
Penyerang berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan kaki ketika bersama kelabnya, Borussia Dortmund dan sudah terlepas tiga aksi bersama pasukan itu sebelum ini.
Dia juga dijangka tidak dapat diturunkan ketika Norway berdepan Turki awal pagi esok dan menentang Montenegro tiga hari kemudian.
“Saya memohon maaf kerana tidak bersedia dan tidak mampu untuk turun beraksi dalam saingan antarabangsa kali ini. Saya sangat teruja untuk beraksi tetapi masalah kecederaan ini mengganggu.
“Apapun, saya berharap Norway mampu mencapai kemenangan dalam perlawanan kali ini,” katanya melalui laman Twitter.
Ketua pasukan perubatan pasukan Norway, Ola Sand memberitahu, beliau terpaksa membuat keputusan untuk mengetepikan Halaand sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkannya berdepan kecederaan lebih teruk.
“Tahap kecederaannya semakin menurun tetapi prosesnya berjalan agak perlahan. Saya fikir Haaland terpaksa menanggung risiko yang besar sekiranya dia diturunkan untuk tempoh terdekat ini,” katanya.
Norway yang kini berada di kedudukan kedua Kumpulan G di belakang Belanda dengan perbezaan gol turut kehilangan khidmat dua lagi pemain mereka, Alexander Sorloth dan Joshua King. – AGENSI