Oleh ROHANA MOHD. NAWI
KOTA BHARU – Seorang pelajar tingkatan tiga ditahan polis selepas dipercayai merogol kekasihnya yang merupakan pelajar tingkatan satu awal Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, remaja lelaki itu ditahan selepas keluarga mangsa tampil membuat laporan polis Ahad lalu.
Menurutnya, berdasarkan laporan, mangsa mendakwa dia dirogol secara bergilir-gilir oleh dua orang lelaki di sebuah rumah kosong di Pondok Terusan, Pasir Tumboh, kira-kira pukul 3 pagi.
Katanya, sebelum kejadian, mangsa telah dibawa bersiar-siar oleh teman lelakinya dengan menunggang motosikal bersama seorang lagi rakan kepada teman lelakinya.
“Ketika berada di rumah kosong berkenaan mangsa telah dirogol secara bergilir-gilir oleh kedua lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, mangsa yang masih bersekolah mengenali kedua-dua lelaki terbabit sebelum ini.
Menurutnya, keluarga mangsa yang mengetahui kejadian itu kemudian membawa mangsa ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.
“Sebaik menerima laporan, polis menahan salah seorang lelaki terbabit untuk siasatan lanjut. Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut,” katanya.
Tambah Abdul Rahim, polis sedang mengesan seorang lagi suspek untuk membantu siasatan.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. – K! ONLINE