fbpx

Jepun resah prestasi goyah Momota

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOMOTA dilaporkan belum berada pada tahap terbaik selepas terlibat dalam kemalangan tahun lalu serta kekecewaan ketika saingan di pentas Olimpik. – AFP

AARHUS, Denmark – Skuad Jepun resah apabila pemain perseorangan No.1 dunia, Kento Momota masih belum berada pada tahap terbaik menjelang saingan Piala Thomas 2020 yang akan membuka tirai rasmi di Arena Ceres, Aarhus pada Sabtu ini.

Perkara itu diakui oleh ketua jurulatih skuad Jepun, Park Joo-bong selepas menyaksikan Momota gagal mempamerkan pres­tasi yang diharapkan selepas Negara Matahari Terbit itu muncul naib juara Piala Sudirman ditewaskan China 1-3, Ahad lalu.

Pada aksi final tersebut, Momota tewas kepada pemain perseorangan China, Shi Yuqi sekali gus mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas dikalahkan jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia di peringkat separuh akhir.

Kata Joo-bong, anak buahnya yang berusia 27 tahun itu masih memiliki kelemahan daripada sudut mentaliti terutama apabila gagal menyumbangkan sebarang pingat pada temasya Sukan

Olimpik yang lepas selain masih bergelut dengan psikologi selepas mengalami kemalangan serius di Kuala Lumpur tahun lalu.

“Prestasi Momota yang masih tidak konsisten sememang­nya agak merisaukan pasukan Jepun terutama pada saingan Piala Thomas yang akan bermula ming­gu ini. Dia dilihat masih bergelut dengan prestasi kerana masih kecewa apabila tersingkir awal pada temasya Sukan ­Olimpik yang lepas.

“Selain itu, dia juga masih mengalami krisis keyakinan dan trauma selepas mengalami kecederaan ekoran kemalangan ngeri tahun lalu. Namun, saya harap Momota dapat segera bangkit memandangkan dia adalah harapan utama Jepun untuk menyumbang mata.

“Secara keseluruhan, saya berpuas hati de­ngan komitmen yang diberikan oleh pasukan untuk muncul naib juara Piala Sudirman lepas kerana kita tidak membawa beberapa pemain utama seperti Nozomi Okuhara, Yuki Fukushima dan Sayaka Hirota yang me­ngalami kecederaan,” katanya.

Pada saingan Piala Thomas nanti, Jepun telah diundi bersama Malaysia dan Kanada dalam Kumpulan D selepas England mengambil keputusan untuk menarik diri pada saat akhir kelmarin. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI