fbpx

Henti spekulasi kes kematian pemaju hartanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pemaju hartanah dilapor maut selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah kondominium mewah di Jalan Kelawai, George Town semalam.

GEORGE TOWN – Polis meminta orang ramai supaya menghentikan spekulasi berhubung kematian seorang pemaju hartanah terkenal akibat terjatuh tingkat 16 di sebuah kondominium di Jalan Kelawai di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, siasatan awal mendapati tidak sebarang unsur jenayah dalam kes kematian itu dan diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, pihaknya yang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kolam renang, pintu masuk dan lif mendapati tiada individu mencurigakan keluar masuk di kondominium mewah mangsa.

“Laporan bedah siasat mendapati mangsa mati disebabkan kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi.

“Ujian darah mendapati mangsa bebas pengambilan alkohol atau dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Berita berkaitan: Pemaju hartanah maut terjatuh kondo

Menurut Fisol, pihaknya tidak dapat mendedahkan identiti sebenar mangsa kerana menghormati perasaan ahli keluarga si mati.

Siasatan awal ke atas isteri mangsa berusia 55 tahun dan dua anaknya berusia 21 dan 24 tahun mendapati tiada sebarang kelakuan mencurigakan dilakukan lelaki itu.

“Si mati ada memaklumkan dia dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Isterinya turut memaklumkan mangsa tidak ada masalah depresi.

“Semasa kejadian isteri dan dua anak mangsa sedang tidur,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI