KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga tempatan kerugian RM1.3 juta selepas terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam pada Ahad lalu.
Difahamkan, mangsa yang berusia 42 tahun itu bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat multinasional telah dihubungi oleh seorang ‘Pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)’ yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, ‘pegawai’ berkenaan mendakwa sebuah syarikat didaftarkan atas nama mangsa mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM17,600.76.
“Mangsa telah diminta untuk mendedahkan maklumat akaun peribadi dan menyerahkan kata laluan sekali guna (OTP) supaya wang tersebut dipindahkan ke akaun ‘Bank Negara’.
“Mangsa kemudiannya mendapati terdapat transaksi pndahan wang daripada beberapa akaun berjumlah RM1.3 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, mangsa juga telah membuat semakan di LHDN dan mendapati tiada siasatan dijalankan ke atas dirinya.
“Mangsa yang tertipu telah membuat laporan polis dan mengalami kerugian berjumlah RM1.3 juta. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Dalam pada itu, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September, JSJK Kuala Lumpur telah membuka sebanyak 442 kertas siasatan dengan jumlah kerugian sebanyak RM20.5 Juta,” jelasnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929