fbpx

Tumba kini dilaporkan dalam keadaan baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tumba yang dilaporkan hilang kini berada dalam keadaan baik dan selamat.

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Harimau dahan bernama Tumba berjaya ditangkap semula berikutan terlepas daripada Taman Hidupan Liar Lok Kawi, semalam kini dilaporkan dalam keadaan baik di bawah jagaan doktor veterinar.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, Tumba ketika ini ditempatkan di Klinik Taman Hidupan Liar Lok Kawi sehingga kandang ekshibitnya siap dibaiki untuk memastikan Tumba tidak lagi terlepas semula.

“Pihak taman juga akan menambah dawai besi bagi mengelakkan kejadian berulang kembali.

“Selain itu, kita turut membina pagar perimeter sekeliling kandang ekshibit.

“Tumba dan seekor lagi harimau dahan jantan lain bernama Boboi dijangka berumur antara sembilan sehingga 11 tahun akan dimasukkan semula di kandang ekshibit pameran pada minggu depan selepas penilaian keselamatan kandang ekshibit selesai,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tumba yang juga harimau dahan jantan jenis Sunda Clouded Leopard berumur kira-kira antara lapan sehingga 10 tahun terlepas dari kandang ekshibitnya awal pagi semalam.

Kejadian berkenaan hanya disedari oleh pihak Taman Hidupan Liar Lok Kawi pada pukul 6.15 pagi hari sama sebelum kakitangan taman terlihat Tumba berkeliaran di dalam kawasan terbabit.

Taman Hidupan Liar Lok Kawi kemudiannya ditutup sementara kepada pelawat bagi tujuan keselamatan.

Operasi pencarian Tumba tamat apabila haiwan berkenaan berjaya ditangkap semula pada pukul 8.45 malam semalam menggunakan ‘tranquilliser’ atau ubat pelali.

Terdahulu, laporan tentang kehilangan Tumba menjadi tular selepas satu surat pemberitahuan dikeluarkan kepada beberapa kampung berhampiran taman hidupan liar berkenaan.

Antara isi kandungan surat itu termasuklah meminta orang awam berhati-hati sekiranya menemui haiwan itu selain segera menghubungi JHL. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI