INILAH dia, penamat sebuah penceritaan tiga musim yang bukan hanya memperjuangkan hak minoriti di Amerika Syarikat (AS), mereka juga ditindas kerana fahaman ‘gender’ berbeza, budaya ‘ballroom’ dan paling penting, mengajar penonton satu perihal bernama kehidupan.
Kehidupan harus diteruskan walaupun seseorang itu ditimpa virus HIV yang dahulunya pernah disifatkan sebagai ‘hukuman mati’, namun sekarang tidak lagi dengan bantuan ubat-ubatan moden.
Naskhah Pose sebenarnya memberi pengajaran kukuh bahawa tanpa pertalian darah sekalipun, tiada sebab untuk manusia tidak berkasih-sayang sesama mereka dan berperanan persis ahli keluarga antara satu sama lain.
Itu debunga positif dicernakan House of Evangelista yang membumbungi kehidupan watak-watak utama dalam Pose iaitu Blanca, Elektra, Pray, Angel, Damon dan Ricky serta beberapa karakter ikonik lain.
Musim terakhir siri ciptaan Ryan Murphy, Brad Falchuk dan Steven Canals tersebut menemui sebuah penamat yang cukup indah dengan kesemua watak utamanya berdamai dengan takdir hidup masing-masing dan mencapai gilang kehidupan selayaknya.
Signifikasi Pray Tell
Pray Tell (lakonan Billy Porter) seperti biasa, memberi kualiti persembahan lakonan luar biasa. Musim ketiga terasa seperti semua yang ‘dikerjakan’ watak lain adalah tribute buat pengacara atau hos pentas tari atau ‘ballroom’ tersebut.
Episod awal musim ketiga menyaksikan Pray, kebanyakan waktu berperangai menjengkelkan disebabkan realiti kehidupan sebagai penderita HIV.
Beberapa rakan yang menghidap penyakit sama terkorban, lantas membuatkan Tell berasa seperti tiada lagi alasan untuk meneruskan kehidupan.
Pengorbanan yang dilakukannya pada penghujung episod membuktikan, untuk meneruskan legasi, seseorang harus berkorban.
Untuk satu kehidupan yang lebih bermakna, satu jalan hidup harus bertemu pengakhiran. Itulah yang dilakukan. Apa sebenarnya yang berlaku, penonton perlu menyaksikan sendiri naratif musim ketiga ini.
Kali ini juga, ada sesuatu telah berlaku kepada Damon yang menyebabkan kelibatnya terlihat hanya awal episod. Selepas itu, penonton hanya boleh merindukan gerak tarinya daripada musim terdahulu.
‘Glee’, tergesa-gesa
Sejujurnya, musim terakhir Pose tetap satu perjalanan yang bermakna cumanya, terjemahannya terasa seperti sesuatu yang tergesa-gesa, tetap tidak boleh melawan musim terdahulu termasuk dari segi karakter dan elemen teknikal.
Bagaimanapun, musim ketiga ini tetap menjadi penamat kepada semua permulaan. Blanca mula hidup dengan potensi sebenarnya dengan kerjaya profesional baharu, Elektra terus hidup mewah dan lebih bermakna, Angel dan kekasih hatinya mengikat ikatan suci bernama perkahwinan.
Buat penulis, musim terakhir ini terasa seperti tribute buat semua orang dan kadang-kadang rasa macam menonton jelmaan ‘Glee’ kerana banyak nilai seni nyanyian yang disuntik.
Masakan tidak, penciptanya Ryan Murphy Brad Falchuk ialah individu sama yang membangunkan jenama Glee.
Apa pun, selamat tinggal Pose. Terima kasih untuk tiga musim yang penuh dengan refleksi akar budaya pop dan peringatan bahawa dalam kehidupan, siapa pun tidak boleh terkecuali daripada ketewasan, tinggal kita perlu bangkit mengubah nasib sendiri.