PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan diselaras sesuai dengan keperluan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dibentang akhir bulan ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia bakal dibaca buat kali pertamanya pada 26 Oktober depan.
“Ini diikuti dengan bacaan kali kedua RUU tersebut yang akan dibentang di Parlimen pada 28 Oktober pula,” kata Ahli Parlimen Santubong itu menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum dibaca, kementerian beliau akan mengadakan sesi libat urus untuk menerangkan pindaan itu kepada pelbagai pihak terutamanya Ahli-ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam proses mengemas kini RUU tersebut selain ada sesi perbincangan dengan pihak perundangan dari dua negeri tersebut.
Setakat ini ujar Wan Junaidi, inisiatif yang giat dilaksanakan kementerian itu menerima sokongan penuh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor dan para pemimpin negeri berkenaan.
“Pertemuan juga akan diadakan dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg bagi membincangkan isu tersebut dalam masa terdekat,” jelas beliau.
Berdasarkan maklum balas diterima, beliau menyasarkan akan ada mesyuarat khas yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Oktober ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929