fbpx

Ayam Thailand murah punca seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razlin (kiri) memeriksa lori yang digunakan untuk membawa ayam hidup seludup pada sidang akhbar di Markas Taktikal PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini. - FOTO ZULHANIFA SIDEK

TUMPAT – Kenaikan harga semasa ayam di negeri ini yang mencecah sehingga RM9 hingga RM10 sekilogram dipercayai menjadi salah satu punca berlaku kegiatan penyeludupan ayam hidup dari negara jiran ketika ini.

Difahamkan, harga ayam hidup di Thailand ketika ini dijual lebih murah iaitu kira-kira RM5 hingga RM6 sekilogram sekali gus mendorong penyeludup berusaha membawa masuk lebih banyak bekalan ayam hidup ke negara ini bagi mengaut keuntungan.

Ayam hidup seludup yang dirampas PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di Jalan Jubakar, Tumpat, Kelantan malam tadi. – FOTO ZULHANIFA SIDEK

Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Superintendan Mohd. Razlin Abdul Manaf berkata, dalam tempoh lima hari pertama bulan ini, sebanyak tiga kes penyeludupan ayam hidup berjaya dipatahkan oleh pihaknya.

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dengan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Bersepadu di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.

“Dalam kes terbaharu, PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menahan sebuah lori dipandu lelaki warga tempatan di Jalan Jubakar di sini pada pukul 12.30 tengah malam tadi. Hasil pemeriksaan ke atas lori itu telah menjumpai 1,980 ayam hidup dipercayai diseludup dari negara jiran.

“Berdasarkan pasaran semasa, kesemua ayam hidup tersebut dianggarkan bernilai RM60,192,” katanya pada sidang akhbar di Markas Taktikal PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Razlin berkata, pemandu lori berusia 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 11 (1) Akta Pemeriksaan dan Kuarantin Malaysia 2011.

Menurutnya, PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor merampas dua buah lori yang sarat membawa 3,480 ekor ayam hidup di kawasan Pengkalan Kubor menerusi operasi bersama dengan Batalion 7 PGA dalam serbuan berasingan pada 1 Oktober lalu.

“Kita telah merampas 1,980 ekor ayam hidup dan menahan tiga lelaki dalam serbuan pertama di pangkalan haram Pok Leh, Tualang pada pukul 1 pagi.

“Dalam serbuan kedua di jalan Simpangan di sini, sebanyak 1,500 ekor ayam hidup berjaya dirampas selepas menahan sebuah lori yang dipandu lelaki warga tempatan,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI