PETALING JAYA – Tarikh perkahwinan pasangan pelakon Uqasha Senrose dan Kamal Adli nampaknya semakin hampir apabila masing-masing dilihat sibuk melakukan persiapan akhir sebelum bergelar raja sehari.
Dalam video yang dimuat naik menerusi InstaStory, Uqasha dilihat menganjurkan majlis bridal shower (meraikan bakal pengantin) di sebuah restoran bersama adik-beradik dan sepupunya semalam.
Dalam majlis tersebut dilihat Uqasha atau nama lengkapnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 29, menghadiahkan semua tetamu yang hadir dengan rantai loket yang diletakkan gambarnya.
“Rantai ini untuk my bridesmaids (pengiring pengantin perempuan),” kata Uqasha sambil memakaikan rantai tersebut pada sepupunya, Aprena Manrose.
Selain Aprena antara yang dilihat hadir adalah adik-beradiknya, Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose.
Sementara itu, dalam satu hantaran dalam Instagram, tunangnya, Kamal Adli turut memuat naik sekeping gambar Uqasha diraikan dalam majlis bridal shower.
Kamal Adli menulis kapsyen: “So cantik. Ya Allah, kau permudahkanlah segala urusan.”
Menguatkan lagi desas-desus pasangan tersebut bakal berkahwin dalam waktu yang terdekat apabila Kamal yang dihubungi Kosmo! Online semalam mengakui sedang mengukur baju di beberapa butik jenama popular.
Dalam dua video pendek yang dimuat naik dalam InstaStory, Kamal atau nama lengkapnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 35, dilihat sibuk diambil ukuran badan oleh pereka fesyen tersohor tanah air.
Difahamkan baju tersebut bakal digayakan pada hari bahagianya bersama Uqasha. Sungguhpun begitu sehingga kini, pasangan popular itu masih belum mendedahkan tarikh pernikahan mereka kepada umum.
Terdahulu, Kamal membuat kejutan apabila melamar Uqasha secara langsung pada siaran Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME 2020) yang berlangsung Disember tahun lalu.
Hubungan cinta mereka mula menjadi perhatian peminat selepas digandingkan dalam sebuah drama arahan Michael Ang berjudul, Setelah Terlafaznya Akad.
Pasangan tersebut yang melangsungkan pertunangan pada April lalu bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh majlis pernikahan mereka.
Mengikut perancangan asal, Kamal dan Uqasha sepatutnya melangsungkan majlis akad nikah dan tiga buah majlis resepsi di sebuah pusat peranginan tanah tinggi terkemuka, namun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut disebabkan penularan virus Covid-19 yang semakin membimbangkan.
Pada Jun lalu, Kamal mendedahkan secara eksklusif kepada Kosmo! Online bahawa jika bukan kerana pandemik Covid-19, dia dan Uqasha sepatutnya telah bergelar suami isteri pada bulan tersebut. – K! ONLINE