GEORGE TOWN – Dua beranak terpaksa menanggung kesakitan akibat melecur selepas tong gas memasak meletup dalam kejadian di rumah mereka di Teluk Kumbar di sini pada minggu lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa, Mahari Md. Noor, 47, terbakar kira-kira 50 peratus pada badannya, manakala anak bongsunya, Nurul Atiqah Mahari, 14, pula cedera di tangan kiri serta kaki selain rambutnya terbakar.
Isteri Mahari, Rosilawati Abd. Abdul Rahim, 44, berkata, kejadian berlaku ketika suaminya mahu memeriksa dapur selepas mengesyaki berlaku kebocoran gas pada pukul 2.30 pagi.
“Ketika itu, kami sekeluarga termasuk dua lagi anak baru hendak masuk tidur. Suami terdengar bunyi seperti air mengalir di dalam tandas. Kedudukan dapur pula terletak berhampiran tandas.
“Sebelum sempat dia (Mahari) memegang tong gas, ia tiba-tiba meletup. Bunyi letupan itu kuat seperti dipanah petir sehingga bergegar satu rumah,” katanya semalam.
Menurut wanita itu, tidak lama kemudian dia terdengar anaknya yang turut berada berdekatan suaminya semasa memeriksa tong gas tersebut mengerang kesakitan lalu bergegas ke dapur.
Rosilawati memberitahu, dia melihat anaknya sudah terbaring, manakala suaminya pula berdiri meminta pertolongan daripada jiran-jiran.
“Anak lelaki saya segera memadamkan api dengan menggunakan alat pemadam api sebelum meminta bantuan jiran membawa suami dan anak ke Hospital Balik Pulau,” katanya.
Dua beranak itu kemudian dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
“Keadaan mereka kini stabil, namun kerap mengerang kesakitan akibat melecur. Suami saya dijangka menjalani pembedahan bagi menampal luka melecur hari ini (semalam).
“Kami masih trauma dengan yang kejadian berlaku. Biarpun kejadian sudah hampir seminggu berlaku, namun saya masih tidak terdaya masuk ke dapur untuk memasak kerana terkenangkan keadaan suami dan anak yang sakit di hospital,” ujarnya dalam nada sebak. -K! ONLINE