SEMUA peminat bola sepak tanah air akan melihat wajah baharu skuad Harimau Malaya menerusi gabungan pemain muda dan senior dalam dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Amman, Jordan minggu ini.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe seakan-akan mendengar gesaan para peminat yang mahu melihat adunan ramai pemain muda dalam pasukan kebangsaan.
Ia selepas Cheng Hoe membawa enam pemain bawah 23 tahun dan tujuh muka baharu daripada senarai 22 nama untuk menghadapi Jordan malam ini sebelum bertemu Uzbekistan pada Sabtu ini.
Tujuh muka baharu itu ialah Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dari pasukan PJ City FC), Quentin Cheng, Al-Hafiz Harun (Penang FC), Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor FC) dan Hakimi Abdullah (Terengganu FC).
Tiga daripadanya berusia bawah 23 tahun seperti Mukhairi Ajmal, 20, Hakimi, 22 dan Quentin, 22, dan Luqman Hakim Shamsudin, 19, (KV Kortrijk), Akhyar Rashid, 22, (JDT FC) dan Faisal Halim, 23, (Terengganu FC).
Mereka sememangnya layak mendapat panggilan skuad kebangsaan berdasarkan prestasi cemerlang yang dipamerkan bersama kelab masing-masing sepanjang saingan Liga Super musim ini.
Sebagai contoh, Kalamullah berjaya merekodkan lapan clean sheet dalam 19 aksi Liga Super bersama PJ City, terlepas tiga perlawanan liga musim ini.
Paling mencuri tumpuan sudah tentu Quentin kerana bukan sahaja bermain semua 22 aksi liga dengan 1,959 minit permainan, malah turut mencetak lima umpanan jaringan untuk membantu Penang meraih tempat ketiga Liga Super musim ini.
Hakimi juga tak kurang hebatnya apabila muncul penjaring tempatan kedua terbanyak dalam kancah Liga Super musim ini dengan lima gol bersama Terengganu, kurang dua gol sahaja untuk menyamai kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar.
Pakar Rujuk Talent Identification Jabatan Pengajian Sukan Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohd. Rozilee Wazir Norjali Wazir menyifatkan pemilihan mereka menggambarkan masa depan yang cerah buat pasukan kebangsaan.
“Mereka perlu bersaing dengan nama-nama besar untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama sekali gus membantu dari segi membina keyakinan diri dan kekuatan mental.
“Kemahiran mereka hampir sama, cuma kurang dari segi keyakinan dan pengalaman berbanding dengan pemain senior.
“Sekiranmya diberi peluang, tak mustahil bila-bila masa mereka akan memintas pemain senior. Jadi, gunakan peluang ini untuk yakinkan Cheng Hoe,” katanya.
Pemegang Ijazah Kedoktoran dari Universiti Gent, Belgium itu percaya ia akan menjadi pembuka jalan kepada lebih ramai bakat muda diserapkan awal dalam skuad Harimau Malaya.
“Rugi sebenarnya kalau tak ambil peluang ini. Sekarang adalah masa terbaik sebab bukan senang nak masuk skuad senior.
“Berlatih bersama pemain senior pun sudah beri banyak kelebihan, apatah lagi kalau mereka diturunkan bermain perlawanan. Mereka akan selangkah ke hadapan daripada pemain-pemain sebaya,” jelasnya.
Menariknya, Mukhairi Ajmal, Hakimi, Quentin dan Luqman Hakim akan meraih sesuatu yang positif bersama Harimau Malaya untuk dikongsikan kepada skuad B20 negara.
Ini kerana, mereka dijangka menjadi tonggak utama B20 Malaysia menghadapi kelayakan Piala Asia B23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia dari 25 hingga 31 Oktober ini. -K! ONLINE