BATU PAHAT – Anak Orang Asli dari Kampung Kangkar Senangar di sini, yang meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu memutuskan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini.
Intan Nurhidayah Lim, 20, yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam STPM berkata, dia memilih universiti awam berkenaan kerana terdapat kursus diminatinya selain lokasi kampus terletak berhampiran rumah keluarganya.
Menurut gadis suku kaum Jakun itu, peluang untuk melangkah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak disia-siakan dan mahu menjadi contoh terbaik buat masyarakat Orang Asli.
“Saya berharap dapat menjadi pelajar yang cemerlang dalam segala aspek sekali gus menjadi contoh teladan kepada anak-anak masyarakat Orang Asli untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran.
“Sebelum ini saya sering mengikuti hal-hal yang berkaitan UTHM seperti kursus yang ditawarkan dan aktiviti kesukarelawan.
“Lama-lama saya semakin berminat dan terus memasang impian untuk menjadi salah seorang pelajar universiti teknikal ini,” katanya.
Intan Nurhidayah dan pelajar UTHM, Nurul Humaira Aina Setia Jaya dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan mrupakan antara 21 pelajar yang terpilih menerima bantuan pendidikan daripada Kementerian Pengajian Tinggi.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad hadir pada program Walkabout Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin kelmarin. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929