PETALING JAYA – Belum reda kisah rayuannya terhadap seorang menteri, muncul pula isu lain apabila seorang individu dipercayai kakitangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) meminta Mila Jirin membayar kos lesen premis perniagaannya.
“Mohon lesen dulu untuk tempat awak itu. Sejak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan sudah diberikan notis, saman sikit pun awak tak layan. Buat yang wajib dahulu, senang kerja awak nanti,” tulis seorang wanita dalam ruangan komen sebuah entri Instagram Mila.
Menyelar tindakan individu berkenaan, Mila mempersoalkan berapa kali dia harus membayar kos lesen memandangkan bisnes tidak beroperasi selama hampir dua tahun.
“Dalam tempoh setahun berapa kali saya perlu bayar kos lesen? Awak bek
“Kerja di PBT (pihak berkuasa tempatan) sepatutnya bertanya khabar usahawan yang sudah lebih setahun tidak berniaga, bukannya suruh terus bayar.
“Kos lesen setahun hampir RM10,000 dan premis diarahkan tutup!” katanya dalam satu entri Instagram.
Pemilik nama penuh Norsyarmilla Jirin, 33, itu juga memaklumkan, dia sudah membayar kos lesen yang sepatutnya akan tamat tempoh pada Mac 2022.
“Awak tulis secara umum menggambarkan saya tidak membayar kos lesen. Saya sudah membayar RM9,490 dan tamat tempoh pada Mac 2022 itu untuk apa?
“Sekarang tahun 2021 atau sudah masuk 2022? Lesen sekarang perlu bayar dua kali setahun?” ujarnya geram.
Bekas juara Akademi Fantasia lima itu juga terkilan kerana individu tersebut tidak memahami kesusahannya sebagai usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Pernah fikir dalam otak tak, kesukaran hendak bayar dengan premis yang tutup tidak boleh berniaga. Awak mungkin tak rasa sebab setiap bulan bergaji.
“Apa hal awak pulak nak bersimpati dengan masalah kami kan? Yang penting saman sebab lewat atau tidak bayar.
“Peniaga nak bungkus, tutup atau mati pun bukan urusan awak,” ujarnya lagi.
Tegas Mila, dia juga akan membawa isu tersebut kepada pihak MBSJ untuk tindakan lanjut kerana menganggap tindakan individu berkenaan telah memalukannya.
“Saya akan bawa isu ni ke MBSJ kerana perkara tersebut tidak patut ditulis oleh warga kerja MBSJ kepada peniaga yang bayar lesen perniagaan.
“Harap Maklum saya dah mesej awak untuk dapatkan maklumat awak untuk dilaporkan ke MBSJ. Jika tak beri kerjasama pun tak apa, saya ke MBSJ sahaja untuk buat aduan,” tegasnya.
Difahamkan komen tersebut muncul selepas Mila lantang bersuara mengenai mengenai majlis sosial dalam tempat tertutup berkemungkinan menjadi sektor terakhir yang akan dibuka seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin semalam.
Menurut Khairy, perkara tersebut akan dinilai berdasarkan situasi semasa selepas larangan rentas negeri ditarik semula.
Kenyataan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen khususnya pengusaha katering dan perunding perkahwinan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Sekitar Mei tahun lalu, Mila pernah menyuarakan kebimbangan tentang nasib 100 orang pekerjaannya selepas perniagaan perkahwinan dan katering yang diusahakan.
Lantas, dia telah mengambil inisiatif untuk memulakan perniagaan menjual kek dan pastri bagi meneruskan kelangsungan syarikat dan pekerjanya.- K! ONLINE