JAKARTA – Ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki yang tular kerana mempunyai 19 perkataan dalam namanya menulis surat terbuka kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) ekoran kegagalan mereka mendapatkan sijil lahir buat kanak-kanak itu, lapor laman berita Suara.com hari ini.
Rangga Madhipa Sutra Jiwa Cordosega Akre Askhala Mughal Ilkhanat Akbar Sahara Pi – Thariq Ziyad Syaifudin Quthuz Khoshala Sura Talenta sebelum ini pernah tular selepas dilahirkan pada 6 Januari 2019 kerana mempunyai nama yang panjang.
Bagaimanapun, sehingga kini, meskipun berusia hampir tiga tahun, kanak-kanak itu dilaporkan tidak mempunyai sijil lahir kerana permohonan ibu bapanya untuk mendaftarkan namanya ditolak atas sebab terlalu panjang.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram akaun @memomedsos, ibu bapa kanak-kanak tersebut menulis surat terbuka untuk Jokowi bagi membantu menyelesaikan masalah mereka.
Selain mengadu bahawa nama kanak-kanak itu sering dijadikan bahan jenaka, mereka turut meminta agar Jokowi dapat menguruskan hal berkaitan sijil lahir.
“Mungkin bagi sesetengah orang yang tidak faham maksud sesuatu nama, nama anak kami dijadikan bahan ejekan dan jenaka.
“Jika di daerah ini kami gagal mendaftarkan nama anak ini, kami berharap agar Presiden Jokowi dapat membantu menjadikan nama itu sah di negara Indonesia,” ujar bapa kanak-kanak tersebut.
Hantaran itu menjadi tular dengan ramai netizen mengetengahkan pendapat masing-masing mengenai isu tersebut.
“Anda yang memberikan nama yang panjang kepadanya, sekarang Presiden yang perlu selesaikan. Waras atau tidak?” kata seorang netizen.
“Memang benar bahawa nama adalah satu doa, bahkan setiap kata-kata juga merupakan doa. Namun, apa yang perlu ditekankan di sini adalah sesuatu yang berlebihan pun tidak bagus,” kata seorang lagi. – Agensi