PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak pernah meminggirkan institusi pendidikan di negara ini khususnya membabitkan sekolah pondok, pusat tahfiz dan sekolah agama.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, kerajaan menerusi Jakim telah menyalurkan bantuan berjumlah RM60 juta kepada 1,066 buah institusi berkenaan sehingga Ogos lalu.
Selain itu, katanya, sebanyak RM244,400 telah disumbangan melalui Tabung Musaadah Covid-19 Jakim-YWM.
“Jakim juga pada ketika ini sedang berusaha dengan pelbagai cara bagi membantu institusi pendidikan Islam agar dapat melangsungkan operasinya demi anak bangsa.
“Jakim juga berkerjasama dengan pihak berwajib seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memastikan dan menjaga keselamatan warga institusi pendidikan Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Aziz berkata, antara tindakan segera diambil kerajaan adalah melaksanakan saringan bagi mengesan dan menyekat penularan Covid-19 dalam kalangan warga institusi tersebut.
Katanya, semua langkah itu dilakukan di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pendidikan dan Pelajaran Agama Islam (LEPAI) khususnya sepanjang pandemik Covid-19 ini.
Abdul Aziz berkata, Jakim juga menerbitkan Garis Panduan Pengurusan Pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dan Sekolah Agama Dalam Norma Baharu sebagai rujukan kepada institusi Pendidikan Islam untuk beroperasi. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929