DUA figura dari tanah seberang, Rizky Febian dan Ziva Magnolya ini menyatu dalam sebuah karya yang diberi judul Terlukis Indah.
Disebabkan keakraban luar biasa yang tercerna melalui seni, mereka sempat digosipkan sebagai pasangan bercinta.
Banyak kali perkara tersebut harus diperjelaskan bahawa mereka sekadar bersahabat baik atas nama muzik, lantas, semuanya terpancar dengan keserasian tidak berbelah bahagi.
Ditebak pertanyaan sama ada mereka benar-benar berpacaran dalam kehidupan realiti, kedua-dua penyanyi itu sepertinya saling bermain tarik tali. Mereka tidak mahu terburu-buru bercerita tentang sesuatu yang belum ada ikatan konkrit.
“Sebenarnya, (hubungan) kami sangat istimewa sebab ketika awal pertemuan, sangat senang untuk buat karya bersama dan itu bermakna, cetusan kimia antara kami sangat baik,” kata Rizky atau nama lengkapnya, Rizky Febian Andriansyah Sutisna.
Buat si bunga juga, dia lebih selesa menyifatkan sang kumbang sebagai teman baik yang diwangikan dengan jalinan persaudaraan atas nama seni.
“Di luar kita sahabat dengan harapan, selepas ini dapat lagi bekerjasama membikin lebih banyak karya yang bagus untuk peminat.
“Kalau orang kata jodoh, mungkin lebih baik cakap jodoh dalam berkarya,” kata Ziva.
Kesan Covid-19
Perjalanan karier Ziva bermula semasa ditemui Rizky Febian dalam satu sesi uji bakat sebuah program realiti, Indonesia Idol ke-10 pada 2019.
Mengakui bukan mudah untuk melestarikan langkah sebagai seorang anak seni dalam belenggu pandemik Covid-19, baik Rizky mahupun Ziva, mereka berasakan keterbatasan yang terdampak susulan virus maut itu harus ditangani dengan baik.
Menyedari suasana atau kemeriahan untuk bermain muzik sedikit vakum, Rizky perlu menggali jalan lain. Jika hendak menzahirkan produk seni, kuasa media sosial harus dioptimalkan sebaik mungkin.
“Kalau sebelum wujudnya Covid-19, saya bebas ke Malaysia buat persembahan, memenuhi jemputan radio atau televisyen, sekarang semua itu sudah sukar untuk dimiliki.
“Bagaimanapun, saya percaya, bukan saya seorang yang rindukan zaman sebelum Covid-19. Saya sendiri sudah lelah menyanyi tanpa penonton. Menyanyi tiada yang ikut menyanyi sama.
“Justeru, apabila semua sudah kembali stabil, harapan saya adalah ingin bertemu dengan peminat dan menyanyi bersama-sama. Menanti untuk masa bertemu kebebasan seperti dahulu,” kata anak kepada pelawak popular Indonesia, Sule itu.
Ziva yang juga pemenang tempat ketiga Indonesian Idol ke-10 pula menyifatkan, banyak aspek harus dilestarikan dengan bijaksana, termasuk mempromosi karya seni dengan apa sahaja wadah yang ada, terutama media sosial.
“Manfaatkan media sosial dan saya rasa itu yang berlaku untuk lagu Terlukis Indah. Dengan bantuan media sosial tanpa perlu artis itu bersua muka dengan peminat, karya dendangan mereka juga boleh bisa diterima,” katanya.
Sambutan baik Malaysia
Teruja apabila Terlukis Indah mendapat tempat di hati pendengar dan mendaki carta lagu popular di negara ini, Rikzy melihat penerimaan tersebut sebagai bukti bahawa ‘jambatan’ Malaysia-Indonesia kekal kukuh terbina.
“Apa yang berlaku adalah sesuatu yang saya anggap sebagai kejutan. Saya sendiri juga tak menyangka lagu ini mampu memanjat carta muzik Malaysia.
“Itu juga sekali gus menjadi pelengkap matlamat utama saya dalam menjadikan muzik sebagai sesuatu yang mampu menyatukan Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Rizky yang turut popular menerusi lagu Kesempurnaan Cinta berkata, dia sentiasa meletakkan harapan supaya seni bernama muzik dapat menjadi pengukuh silaturahim antara Malaysia dan Indonesia.
“Saya sangat berbesar hati dan berbangga melihat sokongan daripada kedua-dua negara terhadap satu sama lain, terutama dalam muzik.
“Apa yang diterjemahkan menguatkan lagi semangat saya untuk berkarya dan menjadikan muzik sebagai pengukuh tali persaudaraan kedua-dua negara,” tuturnya.
Mengulas lanjut mengenai kejayaannya bersama Ziva menerusi lagu cinta itu, Rizky menganggap sokongan yang diterima sebagai pembakar semangat dan motivasi untuk mereka terus berkarya.
TikTok
Berbicara mengenai penghasilan karya yang acapkali digunakan sebagai muzik latar dalam aplikasi TikTok tersebut, Rizky berkata, pencapaian memberangsangkan itu hasil cetusan kimia yang baik antara mereka.
“Terlukis Indah ini tercipta kerana hubungan rapat antara saya dengan Ziva. Kami ada cerita di sebalik tabir yang digunakan untuk melakar karya ini.
“Pada awalnya, saya dan Ziva bertemu dalam satu program yang saya acarakan. Dalam satu segmen, artis jemputan perlu menyanyikan lagu secara spontan.
“Selepas itu, saya mula berasakan keserasian antara kami dan saya cuba hasilkan satu karya duet. Dalam satu malam, saya siapkan susunan lagu ini,” katanya.
Bagi Ziva pula, bekerjasama dengan Rizky menjadi peluang keemasan yang tak mungkin dilepaskannya.
“Saya anggap Rizky seperti diri saya versi lelaki. Saya melihat perkembangan karier seninya dan sentiasa menjadikan dirinya sebagai contoh dalam bidang muzik.
“Muzik, emosi dan stail muzik ada banyak persamaan dengan diri saya.
“Sekiranya ditanya, apa yang ingin saya gapai dalam muzik, saya akan berikan contoh ingin menjadi seperti Rizky,” katanya penuh bersemangat.
Single Terlukis Indah mengambil tema percintaan pandangan pertama, sebuah kisah ringan yang lumrah berlaku dalam kehidupan cinta ramai orang.
Bermula daripada pertemuan pertama, timbulnya perasaan suka, akhirnya bersama dalam satu perjalanan cinta. Kisahnya dan mesej dalam lirik lagu Terlukis Indah kedengaran ringkas, namun cukup manis.
Buktinya, video muzik dan video lirik Terlukis Indah pantas mencuri perhatian ramai dan sehingga kini, sudah ditonton lebih 10 juta secara keseluruhan sejak dilancarkan menerusi saluran YouTube Rizky serta Ziva dua bulan lalu.