ALOR SETAR – Penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja sebuah hotel terkemuka di Pulau Langkawi tidak akan menjejaskan sektor pelancongan di pulau peranginan itu yang baru sahaja dibuka menerusi projek rintis gelembung pelancongan pada 16 September lalu.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau difahamkan kes tersebut melibatkan penularan di kediaman pekerja dan tidak melibatkan pelancong.
“Itu penularan tempatan, menular di tempat tinggal pekerja hotel tersebut. Perkara itu tidak akan menjejaskan industri pelancongan di sana.
“Kita sudah ambil tindakan perlu untuk jaga gelembung pelancongan di sana. Alhamdulillah sekarang ini Langkawi sudah bernafas semula,” katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di pejabatnya di sini hari ini.
Kosmo! hari ini melaporkan sebuah hotel lima bintang di Pulau Langkawi menutup sementara operasi secara sukarela selepas 59 pekerja serta kontak rapat mereka terdiri daripada ahli keluarga disahkan positif Covid-19. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929