SELEPAS enam tahun vakum daripada sebarang perkongsian album baharu, penyanyi wanita Britain yang merupakan antara artis paling laris di dunia, Adele semakin hampir untuk melancarkan album terkininya.
Perkara itu tidak lagi menjadi rahsia apabila Adele atau nama lengkapnya, Adele Laurie Blue Adkins mula mengemaskini ke semua wadah media sosial miliknya termasuk laman web rasminya hari ini.
Pelantun lagu Rolling In The Deep itu turut memberi bayangan kepada peminat yang merindukan listrik vokalnya bahawa era baharu semakin hampir dengan mengemaskini latarbelakang berona ‘teal blue’ atau biru kehijauan dalam semua platform media sosial, termasuk Instagram, Twitter dan YouTube.
Minggu lalu, Adele mencetuskan tanda tanya peminatnya seluruh dunia apabila kebanyakan papan iklan mercu tanda popular dunia dilihat mempromosi album studio keempatnya yang difahamkan akan menggunakan judul ’30’.
Dalam web rasmi Adele, telah wujud butang ‘sign up’ (daftar) sekali gus memberi jaminan diskografi terbaharunya sedang dalam ‘perjalanan’ dan akan mengubat kerinduan peminat global.
Kali terakhir graduan BRIT School for Performing Arts and Technology itu melancarkan album adalah pada 2015 menerusi 25 yang menyaksikan album berkenaan mencatat rekod sebagai album paling laris untuk tahun itu dengan 18.4 juta unit album terjual dalam tempoh setahun sekali gus merupakan antara album terlaris sepanjang zaman.
Adele berpisah dengan bekas suami, Simon Konecki tahun ini namun mengejutkan orang ramai apabila mengumumkan teman lelaki baharunya, Rich Paul termasuk berkongsi penampilan fizikalnya yang semakin ramping sejak akhir-akhir ini. – K! ONLINE