PETALING JAYA – Pelekat ‘P’ yang kebiasaannya ditampal pada kenderaan selepas pemandu lulus ujian memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini mendapat permintaan ‘antarabangsa’ apabila dikesan turut dijual di laman jual beli online China, Taobao.
Seorang pengguna Facebook dengan nama Takeshi Kaneshiro menerusi satu kemas kini status memuat naik tangkap layar aplikasi jual beli berkenaan yang memaparkan pelekat itu dijual dengan harga AS$4.49 (RM18.76) sekeping.
“Pelekat P kita (Malaysia) kini dijual di Taobao, China,” katanya ringkas.
Tinjauan di ruangan komen pula mendapati rata-rata pengguna Facebook menyamakan minat terhadap pelekat berkenaan adalah serupa dengan minat rakyat Malaysia terhadap pelekat kuning hijau pada kereta model pasaran domestik Jepun (JDM) yang membawa maksud serupa.
“Sama sahaja dengan kita di Malaysia, ramai gunakan pelekat JDM pada kereta mereka,” kata Eliot Wan.
“Mungkin rakyat China keliru, ingatkan sama dengan pelekat JDM, rupanya ini versi Malaysia,” ujar Ly Chalyn.
Difahamkan, pelekat kuning hijau yang digunakan di Jepun digelar sebagai ‘wakaba’ atau ‘shoshinsha’ yang bermakna ‘baru belajar’ dan perlu ditampal pada bahagian depan dan belakang kenderaan oleh pemandu yang baharu mendapat lesen kurang setahun.
Tangkap layar yang dimuat naik pada 29 September lalu itu telah mendapat lebih daripada 2,900 perkongsian dan 499 komen daripada pengguna Facebook yang terhibur dengan perkara tersebut. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929