PETALING JAYA – Berikutan penangkapan anak sulungnya berhubung kes dadah Sabtu lalu, aktor Bollywood terkemuka Shah Rukh Khan (SRK) terpaksa membatalkan penerbangannya ke Sepanyol bagi menjalani sebuah penggambaran filem.
Raja Bollywood itu bersama isterinya, Ghauri sepakat untuk berada di sisi Aryan Khan, 23, memandangkan rayuan ikat jamin sementara menunggu kes dibicarakan ditolak Mahkamah Mumbai.
Anak muda yang baharu menamatkan pengajian di bidang perfileman di California Mei lalu itu kini ditahan Biro Kawalan Narkotik (NCB) sehingga 10 Oktober bagi siasatan lengkap.
Terdahulu, Aryan bersama tujuh rakannya ditahan memiliki dadah dalam satu serbuan pihak berkuasa ketika mereka sedang berparti dalam sebuah kapal layar di Mumbai.
Tangkapan yang dilakukan selepas polis melakukan risikan selama dua bulan itu menemukan barang bukti berupa kokain seberat 13 gram, 22 pil ekstasi dan 21 gram ganja padat.
Sudah pasti berita penangkapan Aryan membuatkan ramai tersentak walaupun khabar angin bertebaran mendedahkan anak sulung daripada tiga bersaudara itu sebenarnya sudah empat tahun bergelar penagih.
Sebagai bapa, sudah pasti Shah Rukh tidak berdiam diri malah sumber terdekat memaklumkan Aryan ketakutan berada dalam tahanan sehingga menangis sebaik berpeluang bercakap dengan bapanya selama dua minit.
Difahamkan, bintang Kuch Kuch Hota Hai itu telah mendapatkan khidmat peguam terkenal dan termahal Bollywood, Satish Maneshinde, yang sebelum ini pernah membantu rakan selebritinya, Sanjay Dutt bagi pembelaan terhadap Aryan.
Satish sebelum ini pernah mendapatkan kemenangan kepada Sanjay atas pertuduhan menyimpan sejumlah senjata api milik kumpulan penjenayah dalam siri serangan bom terburuk di India pada tahun 1993.
Ketika itu, hukuman penjara ke atas Sanjay dipendekkkan daripada enam menjadi lima tahun sebelum diberi kebebasan tambahan empat minggu bagi menamatkan penggambaran sebuah filem dan kembali ke penjara menjalani baki hukuman selama tiga tahun setengah.
Justeru, kehadiran peguam berusia 57 tahun itu menguatkan harapan Shah Rukh dalam usaha membebaskan puteranya tambahan pula Aryan menegaskan kehadirannya ke parti berkenaan hanya sebagai jemputan.
Dakwa Aryan, dia tidak tahu menahu bahawa parti tersebut membabitkan dadah biarpun laporan menunjukkan polis menemui paket dadah seberat 6 gram di dalam poket seluarnya.
Apa pun, semua yang terbabit masih menunggu kes dibicarakan dalam tempoh terdekat namun yang pasti, Aryan turut berdepan cemuhan dan buli siber terutama di laman sosialnya.
Media juga mengeluarkan semula wawancara program Rendezvous with Simi Garewal yang memaparkan gurauan Shah Rukh mengenai putera kesayangannya berkaitan dadah beberapa tahun lalu.
“Tidak, saya takkan manjakannya. Bukan semua saya beri. Saya cuma katakan padanya apabila dia besar, dia boleh mengejar gadis, merokok sebanyak yang dia mahu, boleh ambil dadah dan lakukan seks,” katanya. – K! ONLINE