LIVERPOOL – Manchester City dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Liverpool dengan keputusan seri 2-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield malam kelmarin.
Biarpun menguasai sebahagian besar perlawanan, namun skuad kendalian Pep Guardiola itu sekadar berpuas hati dengan satu mata apabila terpaksa bergelut untuk bangkit daripada ketinggalan.
Pada perlawanan itu, Liverpool menjaringkan dua gol menerusi Sadio Mane serta jaringan menakjubkan Mohamed Salah, manakala gol City dijaringkan oleh Phil Foden dan Kevin de Bruyne.
“Liga Perdana adalah liga bola sepak terbaik di dunia. Semua orang boleh lihat kedua-dua pasukan mahukan kemenangan pada perlawanan ini dan ia sangat menarik untuk disaksikan.
“Walaupun berkongsi satu mata tetapi saya gembira dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan oleh pemain-pemain City. Liverpool adalah salah sebuah pasukan terbaik di dunia,” kata Guardiola.
Bekas pengendali Barcelona itu menjelaskan, beliau sedikit tersentak dengan aksi yang ditampilkan Liverpool pada separuh masa kedua kerana skuad kendalian Jurgen Klopp itu langsung tidak melakukan sebarang percubaan sebelum waktu rehat.
“Mereka (Liverpool) menemui rentak permainan sebenar pada separuh masa kedua dan sangat berbahaya, namun saya tetap gembira kerana kami juga menunjukkan reaksi terbaik bagi menyamakan kedudukan,” ujar beliau. – AGENSI