PETALING JAYA – Beberapa kawasan di lapan buah negeri dikenakan amaran ribut petir yang dijangka akan berlaku sehingga pukul 9 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, keadaan itu berlaku susulan hujan lebat yang akan melanda Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Di Perak, keadaan hujan lebat berserta ribut petir dijangka akan berlaku di Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
“Sementara itu di Kelantan, keadaan sama diramal akan melanda daerah Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang,” katanya di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, di Terengganu pula cuaca sama turut diramal akan berlaku di Dungun dan Kemaman. Sementara di Pahang, daerah yang terlibat ialah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Bera dan Rompin.
“Di Johor pula, daerah yang dikenakan amaran ribut petir ialah di Mersing dan Kota Tinggi. Sementara di Sarawak, kawasan terlibat ialah Serian, Samarahan, (Samarahan dan Simunjan), Kapit (Kapit dan Bukit Mabong), Bintulu (Bintulu dan Sebauh), Miri (Subis, Miri dan Marudi) dan Limbang.
“Keadaan sama turut diramal akan berlaku di Pantai Barat (Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Tongod dan Beluran) dan Kudat. Hujan lebat beserta ribut petir turut dijangka akan melanda seluruh Wilayah Persekutuan Labuan sehingga 9 malam ini,” tambahnya. – K! ONLINE.