SHAH ALAM – Walaupun dilahirkan sebagai autisme bukan penghalang kepada seorang kanak-kanak lelaki apabila berjaya melakarkan diri antara individu dalam Malaysia Book Records (MBOR).
Pengiktarafan itu diterima K. Rashwin, 4, apabila berjaya mengenalpasti 198 bendera negara di seluruh dunia dalam tempoh 9 minit 54 saat yang dilakukan beberapa minggu lalu menerusi aplikasi Zoom sambil disaksikan panel MBOR.
Konsultan MBOR, Edwin Yeoh berkata, keupayaan Rashwin itu berjaya mengatasi rekod dibuat seorang kanak-kanak normal berusia lima tahun yang berjaya meneka 147 bendera negara dalam masa 15 minit juga pada tahun ini.
“Ini adalah satu pencapaian memberangsangkan untuk Rashwin memandangkan dia adalah kanak-kanak Autisme.
“Kami amat berbesar hati kerana menyaksikan rekod yang dibuatnya, sekaligus dapat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia,” katanya pada majlis penyampaian sijil MBOR kepada keluarga Rashwin di Akademi Headstart, Pusat Konvesyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini. -K! ONLINE