fbpx

Tetap waspada walaupun telah lengkap vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pelajar melakukan pemeriksaan suhu sebelum memasuki sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seramai 7,295 orang pelajar tingkatan enam dan murid berkeperluan khas memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,488 melibatkan pelajar tingkatan enam semester dua manakala seramai 4,807 melibatkan murid berkeperluan khas.

“Saya mengucapkan selamat kembali ke sekolah dan saya menasihatkan pelajar jangan terlalu ghairah dan sentiasa berhati-hati begitu juga ibu bapa bersama-sama memelihara dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) anak-anak.

“Guru-guru juga mestilah sentiasa meneliti SOP yang ditetapkan dapat dijaga dan dilaksanakan dengan baik semoga semuanya selamat,” katanya di sini hari ini.

Menurut Syed Ibrahim, pembelajaran bersemuka hari ini melibatkan seramai 2,352 pelajar tingkatan enam kelas kemanusiaan dan 136 daripada kelas sains manakala bagi murid bekeperluan khas melibatkan 2,809 murid sekolah rendah dan 1,998 pelajar sekolah menengah.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi mencegah penularan wabak Covid-19 ini semua kumpulan sasar ini perlu dipastikan mengambil vaksin dan menjaga segala SOP yang ditetapkan.

“Waktu hadir dan kembali dari sekolah adalah saat kritikal yang mana semua yang terlibat wajib berhati-hati dan semuga semuanya dipelihara Allah,” ujarnya.

Sementara itu seorang pelajar, Muhammad Arfan Salehudin,19, berkata, dia amat teruja ke sekolah untuk pembelajaran secara bersemuka hari ini setelah sekian lama belajar secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Dia yang bersekolah di tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Temin di Jerantut berkata, walaupun telah menerima suntikan lengkap vaksin dia tetap berhati-hati dan mengikut SOP ditetapkan bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Saya tidak sabar menanti hari ini dan saya bangun awal bersiap ke sekolah untuk bertemu dengan rakan-rakan seterusnya belajar secara bersemuka dengan guru agar saya boleh bertanyakan soalan subjek yang kurang jelas,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI