fbpx

LRA Bukit Tampoi henti tugas sementara akibat pencemaran Sungai Balak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota LUAS memasang oil pad bagi mengelak pencemaran akibat sisa minyak terus mengalir di Sungai Balak

SHAH ALAM – Pencemaran akibat pelepasan efluen berminyak melibatkan sebuah premis kilang yang menghasilkan pelbagai jenis bahan roti di Kampung Baru Balakong mengakibatkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi dekat sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, henti tugas itu dilakukan bermula pukul 12 tengah malam tadi bagi mengelakkan impak lebih teruk kepada LRA tersebut.

“Bagaimanapun tiada gangguan bekalan air kepada pengguna sepanjang henti tugas tersebut dengan LRA Bukit Tampoi telah beroperasi semula pukul 9 pagi tadi.

“Siasatan awal pihak LUAS mendapati, terdapat bau minyak masak dikesan di Sungai Balak. Jarak dari lokasi pencemaran ke muka sauk LRA Semenyih 2 adalah 16kilometer (km), LRA Bukit Tampoi (24.5km) dan LRA Labohan Dagang (36km),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, LUAS kemudiannya telah melakukan inisiatif pencegahan dengan meletakkan dua unit oil boom dan 50 unit oil pad bagi mencegah kemasukan efluen minyak ke Sungai Balak.

“Pensampelan di tiga lokasi berbeza telah dilaksanakan oleh LUAS yang melibatkan lokasi insiden, lokasi di sebelum aliran dan selepas aliran dan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa.

“Walau bagaimanapun, pensampelan ujian bau yang dijalankan oleh LUAS pada Sungai Langat pukul 7 pagi di Jambatan Kampung Teras Jernang selain LRA Bukit Tampoi setengah jam kemudian mencatatkan bacaan sifar ton dan aliran sungai dalam keadaan normal,” katanya.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, Majlis Perbandaran Kajang telah mengeluarkan kompaun di bawah kesalahan mengalirkan efluen minyak ke sistem saliran awam sebelum di rawat dan menggantung lesen premis terbabit sehingga kerja-kerja pembaikan dijalankan oleh kilang tersebut.

“LUAS pula telah mengeluarkan Surat Arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 kepada premis terbabit untuk melaksanakan tindakan pembersihan dan pemuliharaan segera di Sungai Balak dan Sungai Langat.

“Sementara JAS telah melaksanakan penahanan Operasi Kelengkapan (POK) terhadap kilang di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran serta-merta,” katanya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah kilang berasaskan makanan di Balakong dekat sini sekali lagi ‘ditangkap’ melakukan jenayah cemar dengan melepaskan sisa minyak berwarna kuning ke Sungai Balak dekat sini, semalam. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI