KLANG – Dua beranak ditahan selepas dipercayai mendera seorang amah warga India di sekitar daerah ini, semalam.
Kedua-dua suspek berusia 28 dan 49 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 malam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, ini susulan laporan polis diterima daripada seorang petugas pertubuhan kerajaan (NGO) pada hari sama berhubung aktiviti penderaan terhadap amah berusia 26 tahun.
Katanya, amah tersebut ditemui petugas berusia 40an itu di kaki lima Pejabat Pos Klang pukul 8 malam pada 19 September lalu.
“Mangsa dikatakan berjaya melarikan diri dari rumah tersebut sebelum dihantar oleh orang tidak dikenali sehingga ke pejabat pos tersebut.
“Berdasarkan semakan mendapati mangsa telah bekerja di rumah majikannya sebagai amah selama 19 bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata beliau, siasatan awal mendapati mangsa telah dipukul dengan wayar seterika di bahagian peha kaki di hadapan oleh anak majikannya.
Tambah Vijaya Rao, mangsa juga tidak dibayar gaji sebanyak RM1,200 daripada majikannya lebih setahun.
Jelas beliau, kedua-dua suspek kini direman selama empat hari dengan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.
“Mangsa yang diselamatkan itu kini ditempatkan di Rumah Perlindungan wanita Damansara selama 21 hari untuk kertas siasatan dilengkapkan polis,” katanya. -K!ONLINE