fbpx

Kilang lepas sisa minyak dalam sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kelihatan sisa minyak berwarna kuning di Sungai Balak

SHAH ALAM – Bagai mencurah air ke daun keladi. Itu perumpamaan tepat kepada sebuah kilang berasaskan makanan di Balakong dekat sini apabila sekali lagi ‘ditangkap’ melakukan jenayah cemar dengan melepaskan sisa minyak berwarna kuning ke Sungai Balak dekat sini, semalam.

Kejadian dikesan pukul 6 petang dengan pelepasan sisa itu susulan akibat kebocoran pada tangki penstoran minyak makan yang mengalir terus ke longkang premis.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, berdasarkan siasatan mendapati pelepasan itu tidak sempat dibendung akibat injap kawalan gagal berfungsi.

Katanya, pihak premis juga didapati gagal melaporkan kerosakan itu kepada JAS dalam tempoh enam jam selain mengambil langkah-langkah kawalan menghalang pelepasan sisa minyak ke persekitarannya.

“Ekoran itu, sisa tersebut didapati mengalir sehingga memasuki Sungai Balak sehingga menyebabkan sungai itu sedikit tercemar.

“Langkah-langkah mitigasi telah dilaksanakan bagi mengelakkan air terus mengalir dengan kedudukan kilang itu adalah kira-kira 25 kilometer di hulu Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih 2,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan semakan, ini adalah kali kedua kejadian seumpamanya berlaku dengan kali pertama pada November tahun lalu juga akibat kebocoran dengan kilang itu telah dikenakan tindakan mahkamah.

Nor Aziah memberitahu, berdasarkan siasatan mendapati kilang tersebut berlesen dan telah beroperasi sejak tahun 80an.

“Operasi kilang itu diarahkan dihentikan sementara menerusi Notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dibawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“Sebanyak lima sampel efluen telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” jelasnya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI