KOTA BHARU – Gara-gara terlalu percayakan bakal menantu, seorang imam masjid di sini sanggup memberi wang berjumlah lebih RM38,000, emas bernilai RM6,000 dan sebuah kereta kepada seorang tauke emas dan kambing perap sebagai pinjaman modal perniagaan.
Mangsa berusia 65 tahun itu terlalu mempercayai lelaki terbabit selepas suspek berjanji mahu berkahwin dan sehidup semati dengan anak perempuannya.
Imam tersebut mengenali lelaki yang berusia 36 tahun itu selepas diperkenalkan sendiri oleh anak perempuannya yang berumur 28 tahun pada Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa yang menyedari dirinya ditipu oleh bakal menantunya itu telah tampil membuat laporan di Balai Polis Bachok di sini pada 14 September lalu.
Menurutnya, berdasarkan keterangan mangsa, suspek mendakwa sedang menjalankan perniagaan emas serta kambing perap dan memerlukan bantuan modal daripada imam tersebut.
“Angkara terlalu mempercayai, imam itu telah memberi pinjaman sejumlah wang lebih RM38,000 kepada bakal menantunya bermula awal Jun hingga September lalu secara berperingkat di Bandar Baru Kubang Kerian di sini.
“Tidak cukup dengan itu, warga emas itu juga memberikan barang kemas bernilai RM6,000 dan sebuah kereta jenis Proton Gen 2 bagi memudahkan urusan perniagaan bakal menantunya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Abdul Rahim memberitahu, selepas tiga bulan, imam berkenaan menghubungi semula bakal menantunya untuk menuntut semula pinjaman.
Bagaimanapun, katanya, suspek telah memberi pelbagai alasan sehingga menyebabkan mangsa rasa tertipu.
“Imam itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Bachok di sini pada 14 September lalu. Hasil daripada laporan itu, polis menahan suspek di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Chepa di sini pada pukul 11 malam kelmarin,” katanya.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sementara itu, anak mangsa yang enggan dikenali pula berkata, dia sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan suspek pada bulan ini, namun terpaksa memutuskan perhubungan mereka selepas kejadian tersebut.
Menurutnya, dia kini masih berada dalam keadaan trauma akibat kejadian itu selepas bapanya sendiri mengalami kerugian akibat ditipu bakal menantu sendiri.
“Saya yang menyebarkan laporan polis yang dibuatnya mengenai kes itu di laman Facebook baru-baru ini.
“Ia bertujuan memberi pengajaran kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati dan tidak menjadi mangsa lelaki berkenaan,” ujarnya.
Terdahulu, tular di Facebook apabila seorang wanita yang dikenali sebagai Nurul Afifah mendakwa bapanya telah menyerahkan wang kepada seorang lelaki yang dikenali mereka.
Menurut wanita terbabit, wang yang diserahkan kepada suspek sebahagiannya adalah wang simpanan ibu bapanya serta abang dan saudara terdekat mereka.