MADRID – Bintang Atletico Madrid, Luis Suarez berjaya membalas dendam terhadap Barcelona apabila meledak satu gol dan satu umpanan jaringan dalam kemenangan 2-0 pada aksi La Liga di Wanda Metropolitano awal pagi semalam.
Bagaimanapun, Suarez, 34, menafikan dia sengaja meraikan jaringan dengan membuat isyarat telefon yang didakwa ditujukan kepada pengendali Barcelona, Ronald Koeman.
Ia gara-gara tindakan Koeman memberitahu Suarez melalui panggilan telefon bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan di Barcelona ketika beliau mula dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan itu awal musim lalu.
“Ia (gaya jaringan) ditujukan kepada mereka yang tahu saya masih menggunakan nombor telefon sama. Ia langsung bukan mengenai Koeman.
“Kalau anda nak tahu, saya sentiasa bergurau dengan anak saya untuk meraikan jaringan dengan gaya sebegini.
“Saya memohon maaf kepada para penyokong Barcelona kerana jaringan ini. Saya menghormati mereka kerana saya pernah mempunyai karier hebat bersama pasukan itu,” kata Suarez.
Dalam aksi itu, Suarez terlebih dahulu mencipta umpanan jaringan buat Thomas Lemar untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-23 sebelum dia menggandakan kedudukan buat Atletico di hujung separuh masa pertama.
Tiga mata itu membolehkan skuad bimbingan Diego Simeone kembali ke landasan kemenangan selepas tewas mengejut 0-1 kepada Alaves minggu lalu. – AGENSI