PETALING JAYA – Keinginan untuk melancong dalam kalangan rakyat Malaysia terus melonjak dan ia diperlihatkan menerusi kajian sentimen pengguna serta data carian internet berhubung destinasi pelancongan popular dalam negara.
Menurut platform perkongsian dan sewaan penginapan Airbnb, carian perjalanan di Airbnb ke Langkawi telah melonjak melebihi 13 kali ganda bulan ke bulan pada minggu 13 September, sewaktu gelembung pelancongan ke pulau peranginan itu mula-mula dilancarkan.
Pada tempoh yang sama, carian untuk penginapan Airbnb di Port Dickson meningkat lebih 360 peratus bulan ke bulan, manakala carian bagi penginapan di Melaka meningkat 270 peratus.
Populariti ruang penginapan Airbnb yang bersaiz lebih besar turut meningkat, dengan carian vila oleh tetamu dari Malaysia bertumbuh hampir 2.5 kali ganda pada minggu tersebut, berbanding enam bulan yang lalu.
Lima destinasi yang paling banyak dicari ialah Subang Jaya, diikuti Kuala Lumpur, Langkawi, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
Pengurus Besar Airbnb untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj berkata, pihaknya melihat rakyat Malaysia kini tidak sabar lagi menunggu kebenaran perjalanan domestik.
“Data kami menunjukkan sentimen pelancongan yang positif berkenaan kelonggaran sekatan ini dan kami teruja untuk melancarkan inisiatif yang lebih menarik bagi menggalakkan penduduk tempatan kembali melancong,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerusi tinjauan pengguna yang dikendalikan firma penyelidikan pasaran, NielsenIQ berkata, 60 peratus daripada 1,000 responden menyatakan harapan mereka melakukan perjalanan udara ke destinasi dalam negara.
Tinjauan tersebut telah dilaksanakan antara bulan Februari dan Mei 2021, melibatkan responden dari Malaysia yang telah menaiki penerbangan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 12 bulan sebelum tinjauan dan bersedia untuk menaiki penerbangan dalam tempoh 12 bulan ke hadapan.
Sebanyak 40 peratus responden selebihnya memilih perjalanan udara ke destinasi antarabangsa.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, hasil tinjauan menunjukkan rakyat Malaysia tidak sabar untuk melakukan perjalanan udara dalam sektor domestik dan antarabangsa, meskipun masih berwaspada dengan keadaan penularan wabak yang tidak menentu.