fbpx

MSN bersedih pemergian Zolkples

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZOLKPLES berjaya membantu kontinjen Malaysia mencapai kejayaan luar biasa pada Sukan Komanwel New Delhi dan Sukan Asia Guangzhou 2010 ketika menjadi Ketua Pengarah MSN.

ARENA sukan negara kehilangan sebutir permata berharga selepas pemergian bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong yang meninggal dunia pagi tadi.

MSN menerusi Ketua Pengarah, Datuk Ahmad Shapawi Ismail melahirkan rasa dukacita serta menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas berita menyedihkan itu.

Beliau berkata, Allahyarham merupakan seorang insan yang sangat berdedikasi serta komited dalam setiap tugas diamanahkan termasuk memperkasakan program-program usahasama dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan.

“Sukan tanah air hari ini menerima berita sedih apabila bekas Ketua Pengarah MSN, Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong menghembuskan nafas terakhir pagi tadi di kediamannya.

“Salam takziah kepada ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Sebagai rekod, Allahyarham memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah MSN selama tujuh tahun bermula 2007 sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sepanjang tujuh tahun beliau menjawat jawatan tersebut, kontinjen Malaysia mencapai kejayaan luar biasa dengan pungutan pingat tertinggi pada Sukan Komanwel New Delhi dan Sukan Asia Guangzhou 2010 sehingga mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records.

“Jejak kecemerlangan beliau dalam karier berteraskan sukan telah mencatat banyak memori yang sebenarnya telah termaktub sebagai sebahagian daripada sejarah sukan negara,” ujar Shapawi.

Dalam pada itu, Allahyarham turut menjadi pegawai yang bertanggungjawab sehingga tertubuhnya Majlis Sukan Negeri Kelantan serta pembinaan Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil.

Penglibatannya dalam sukan negara sejak 1984 selain banyak sumbangan yang diberikan melayakkan beliau untuk menerajui MSN apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah pada 25 April 2007.

 

INFO

 

NAMA: Datuk Seri Zolkples Embong

TARIKH LAHIR: 1 Mac 1959

TEMPAT LAHIR: Dungun, Terengganu

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI