KUALA LUMPUR – Tiada mana-mana individu boleh terlepas dengan kedaulatan undang-undang termasuk golongan menteri sekiranya melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, ia berikutan undang-undang dibuat untuk menyelamatkan manusia dan bukannya mendera mereka.
“Jadi, kalau kita lihat ketika Covid-19 termasuklah Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) turut jalani kuarantin di rumah.
“Sesiapa sahaja sekarang akan dikenakan kompaun dengan jumlah maksimum RM1,000 sekiranya melanggar Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988),” katanya di Dewan Rakyat di sini tadi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nik Azmi Nik Ahmad (Setiawangsa-PH) yang mahu mengetahui adakah golongan menteri akan dikompaun lebih besar jika melanggar SOP kuarantin di rumah.
Tambahnya, sekiranya terdapat kes pelanggaran SOP lebih serius dengan melibatkan siasatan polis maka ia akan dikendalikan pihak berkuasa terlibat. – K! ONLINE