fbpx

Dua buah rumah lagi musnah terbakar di Karak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN dua buah rumah yang musnah dalam kejadian kebakaran di Kampug Sungai Karak di Bentong malam semalam.

BENTONG – Selepas 51 buah rumah dan 11 buah kedai di Kampung Baru Karak musnah dalam kejadian kebakaran kelmarin, dua buah rumah di Kampung Sungai Karak di sini pula musnah dalam kejadian kebakaran malam semalam.

Kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu turut menyebabkan seorang lelaki Leong Hon Teak, 52, melecur di bahagian tangan kiri ketika cuba menyelamatkan barang berharga.

Hon Teak berkata, semasa kejadian dia yang sedang berada di dalam rumah ternampak percikan api pada wayar pendawaian elektrik sebelum menyedari berlaku kebakaran di bahagian bumbung rumah.

“Saya terus menyelamatkan anak dan isteri dengan membawa mereka keluar daripada rumah sebelum masuk semula bagi menyelamatkan barang-barang berharga.

“Namun api marak begitu cepat menyebabkan saya tidak sempat membawa keluar barang berharga dan melecur pada bahagian tangan akibat terkena api,” katanya di sini hari ini.

LEONG HON TEAK,52, melecur di bahagian tangan kiri selepas terkena api ketika cuba menyelamatkan barang berharga di rumahnya di Kampung Sungai Karak di Bentong malam semalam.

Hon Teak yang tinggal di situ sejak lahir berkata, kejadian kebakaran berkenaan menyebabkan dia dan keluarga tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menumpang di rumah abangnya di Kampung Baru Karak di sini.

Katanya, dia menganggarkan jumlah kerugian ditanggungnya adalah kira-kira RM150,000 dan berharap dapat membina semula rumah di kawasan berkenaan.

Sementara itu Ketua Balai Bomba Karak, Suhairul Ibrahim berkata, bomba yang menerima panggilan kira-kira pukul 12.39 tengah malam bergegas ke tempat kejadian yang melibatkan kebakaran dua buah rumah

Katanya, api berjaya dikawal daripada merebak ke rumah lain dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

“Bomba masih melakukan siasatan mengenai punca kejadian dan jumlah kerugian dialami mangsa terlibat pada masa ini,” ujarnya. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI