KAJANG – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh batu pembahagi jalan dalam satu kemalangan di Jalan Saujana Impian di sini awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.15 pagi sewaktu mangsa C. Ganapathi, 24, sedang memandu seorang diri dari rumah rakannnya di Sungai Long.
“Mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Kajang Perdana dan ketika sedang melalui lokasi kejadian, kereta dipandunya dipercayai telah hilang kawalan.
“Susulan itu, kereta dipandu mangsa telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan di bahagian kanan jalan raya lalu terbalik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azman, akibat kejadian itu, mangsa yang tidak bekerja telah mengalami kecederaan parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian.
“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan tidak menolak kemungkinan pemandu itu berada dibawah pengaruh alkohol berdasarkan terdapat bau minuman keras namun sampel darah akan diambil untuk dianalisis.
“Mayat telah dibawa ke Unit Forensik Serdang untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol kerana perbuatan itu membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929