PARIS – Penyerang AC Milan, Olivier Giroud terus disisihkan jurulatih Perancis, Didier Deschamps apabila tidak dipanggil menjelang saingan separuh akhir kejohanan Liga Negara-Negara Eropah menentang Belgium di Stadium Allianz 8 Oktober ini.
Giroud yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-35 Khamis lalu pastinya kecewa apabila tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan selepas turut diketepikan pada saingan kelayakan Piala Dunia bulan lalu.
Bekas pemain Chelsea itu terdesak untuk beraksi bersama Perancis memandangkan dia hanya memerlukan lima gol lagi untuk menyamai rekod 51 jaringan Thierry Henry yang muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan itu.
“Kami mahu lupakan apa yang berlaku pada Euro sebelum ini kerana ia sudah menjadi sejarah. Saya mahu semua pemain fokus terhadap aksi menentang Belgium kerana kami sedang bersaing untuk merebut trofi.
“Apa yang pasti, perlawanan itu akan menjadi tumpuan peminat bola sepak seluruh dunia kerana mempertemukan antara dua pasukan hebat, jadi kami perlukan skuad terbaik untuk aksi tersebut,” kata Deschamps.
Selain Giroud, pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante juga tidak dipanggil untuk skuad kali ini kerana pemain tengah terbaik Eropah itu dikatakan belum pulih daripada kecederaan.
Sementara itu, Deschamps juga memanggil muka baharu, iaitu pemain Marseille yang dipinjam dari Arsenal, Matteo Guendouzi selepas dia menampilkan aksi cukup baik setakat ini. – AGENSI