SYDNEY – Pemain No. 1 dunia, Ashleigh Barty mengambil keputusan untuk pulang ke negara kelahirannya, Australia sekali gus memberi bayangan untuk berehat buat sementara waktu dan tidak akan lagi bersaing pada siri Jelajah WTA musim ini.
Sebagai rekod, Barty mengambil keputusan mengejut untuk menarik diri daripada menyertai kejohanan berprestij, Terbuka Indian Wells pada minggu depan kerana mahu bertemu dengan keluarganya di Australia selepas lebih enam bulan mengharungi jadual padat di luar negara.
Pengurus peribadi Barty, Nikki Mathias mengesahkan bahawa pemain berusia 25 tahun itu mengambil keputusan untuk berehat di Australia untuk bertemu dengan keluarga dan kini sedang menjalani kuarantin wajib selama dua minggu di hotel.
“Dia (Barty) telah mengharungi siri Jelajah WTA yang padat selama enam bulan dan kini mengambil keputusan untuk pulang berehat di tanah air untuk bersama dengan keluarga terdekat. Disebabkan itu dia mengambil keputusan untuk tidak beraksi di Indian Wells.
“Namun, keputusan itu juga memberi bayangan mungkin musim Barty pada tahun ini sudah berakhir kerana protokol untuk keluar serta masuk Australia masih ketat ekoran pandemik Covid-19 dan dia sedang menjalani kuarantin ketika ini,” katanya.
Sementara itu, pemain No. 26 dunia, Karolina Muchova turut mengesahkan bahawa tidak akan membuat sebarang kemunculan kompetitif pada tahun ini kerana mahu berehat sebelum kembali beraksi pada siri Jelajah WTA musim depan. – AGENSI