PUTRAJAYA – Warga emas antara kumpulan yang banyak terkesan dengan pandemik Covid-19 di negara ini apabila sejumlah 177,220 orang (7.9 peratus) dijangkiti wabak tersebut sehingga 30 September lalu.
Ketua Pengarah kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dalam masa sama, sebanyak 106 kluster melibatkan warga emas telah dilaporkan melibatkan sejumlah 3,598 kes positif termasuk 220 kes kematian dalam kluster ini.
“Dalam masa sama, pada tahun ini sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-38, sebanyak 14,248 (56.6 peratus) kes kematian Covid-19 melibatkan warga emas telah dilaporkan.
“Bagaimanapun, trend ini mula menunjukkan penurunan selaras dengan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 2021 (PICK),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Dr. Noor Hisham berkata, sehingga 29 September lalu, seramai 3,148,438 (87.4 peratus) warga emas telah lengkap divaksin dan seramai 3,365,443 (93.4 peratus) warga emas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Sehingga 26 September, seramai 19,641 (66.8 peratus) penghuni dan penjaga di pusat jagaan warga emas telah menerima dos lengkap vaksin. Usaha pemberian vaksin sentiasa diteruskan untuk memastikan golongan berisiko tinggi ini terlindung daripada jangkitan Covid-19.
“PICK fasa dua yang bermula pada April kepada golongan warga emas dan rentan telah mula menunjukkan tanda-tanda keberkesanannya.
Statistik daripada Hospital Sungai Buloh menunjukkan penurunan ketara kemasukan pesakit warga emas ke hospital bagi kategori empat dan lima berbanding golongan dewasa berumur 20 hingga 59 tahun,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan diadakan pada 1 Oktober setiap tahun sesuai dengan pengisytiharan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah menetapkan 1 Oktober sebagai Hari Warga Emas Antarabangsa. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929