KUALA KANGSAR – Seorang pengusaha kolam ternakan ikan berputih mata selepas ribuan ikan air tawar yang diusahakannya terlepas akibat banjir kilat di Kampung Ngor di sini kelmarin.
Mohamad Nasir Mohd. Razali, 39, berkata, bencana alam itu mengakibatkan dia mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila tiga kolam ikannya ditenggelami limpahan air Sungai Ngor.
Katanya, kejadian itu bukan pertama kali dialami, sebaliknya berlaku lebih 10 kali dalam tempoh setahun.
“Setiap kali hujan lebat, saya mula bimbang kerana air Sungai Ngor akan melimpah dan menyebabkan banjir.
“Keadaan ini memberi kesan kepada tiga kolam ikan yang mana ikan seperti kelah, baung dan belida hanyut dibawa arus deras,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan dia mengalami kerugian ratusan ribu ringgit mengikut harga kelah iaitu RM500 sekilogram.
“Ikan-ikan ini saya pasarkan sendiri di restoran sekitar Pahang dan Selangor. Kelah dijual pada harga RM500 sekilogram manakala baung dan belida pula RM45 sekilogram.
“Kali ini, saya tidak sempat menikmati hasil jualan apabila ketiga-tiga kolam ditenggelami banjir,” katanya.
Mengulas lanjut, lelaki itu mendakwa, banjir kilat sejak 2019 dipercayai berpunca daripada tindakan menambak sungai untuk projek ternakan ikan.
Jelasnya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu menyebabkan sungai menjadi sempit sekali gus tidak mampu menampung air hujan yang banyak sehingga mengakibatkan banjir.
Tambahnya, aduan mengenainya sudah dibuat kepada pemimpin setempat dan jabatan terlibat, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.
“Sepanjang saya membesar di kampung ini, tidak pernah berlaku banjir sehinggalah wujud projek tersebut yang telah menambak rizab sungai hingga menyebabkan aliran sungai menjadi sempit.
“Masalah yang kami alami sepanjang tiga tahun ini boleh diselesaikan sekiranya pihak berkaitan mengambil tindakan segera dengan mendalamkan dan meluaskan sungai,” katanya. -K! ONLINE