fbpx

Penternak ayam mohon pinjaman mudah stabil harga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander Nanta Linggi (kiri) semasa melawat Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank Malaysia di RTC Gopeng hari ini.

GOPENG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenal pasti langkah-langkah bagi menstabilkan harga ayam di pasaran termasuk pemberian pinjaman mudah kepada penternak ayam.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, hasil perbincangan pihaknya bersama persatuan penternak ayam mendapati golongan berkenaan memohon agar kerajaan menyediakan pinjaman mudah kepada mereka.

Menurut beliau, meskipun terdapat cadangan untuk memberikan subsidi dedak ayam bagi mengurangkan beban penternak ayam, golongan berkenaan kurang bersetuju ekoran kos pengurusan mereka tetap naik.

“Hasil daripada libat urus KPDNHEP bersama persatuan penternak ayam kita mendapati pandangan mereka antara lainnya adalah subsidi dedak ayam.

“Namun, mereka lebih suka kalau diberikan pinjaman mudah. Ini kerana isu kos bukan sahaja pada makanan tetapi juga operasi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, di sini hari ini.

Katanya lagi, kerajaan akan mencari langkah yang terbaik menanggani masalah harga termasuk mengambil kira konteks ekonomi secara keseluruhan serta kemampuan kewangan sekiranya ia dilaksanakan.

Menurut Alexander lagi, perkara berkenaan bagaimana pun sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan dan belum memperoleh sebarang kaedah yang diputusan.

“Jadi kita berharap dengan keputusan itu nanti jika dilaksanakan, kita boleh kawal harga ayam di peringkat penternakan, pemborong dan peruncit.

“Memang perkara ini ada naik turun itu memang akan terjadi cuma kita tak mahu ia terlalu tinggi hingga membebankan rakyat,” katanya.

Pada program itu, Alexander berkata, program Food Bank Malaysia yang diterajui KPDNHEP itu berjaya membantu golongan kurang berkemampuan selain mengurangkan pembaziran pada peringkat industri peruncitan.

Katanya, seramai 630,754 orang dari golongan B40 dan 19,954 pelajar institut pengajian tinggi di seluruh negara telah menerima manfaat daripada program itu.

“KPDNHEP dengan kerjasama rakan strategik utama program Food Bank juga merancang untuk membuka tiga Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Food Bank Malaysia di Johor, Melaka dan Kelantan.

“Kerjasama baik yang diberikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan rakan strategik utama lain telah membantu dalam memastikan pusat ini dapat beroperasi dengan lancar,” katanya. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI